JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah bergerak secara nomad dengan menyewa bilik hotel bajet sebagai transit dan makmal mini dadah tumpas susulan penahanan dua lelaki di sebuah hotel di Danga Bay, di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi.
Menurutnya, hasil penahanan kedua-dua suspek di bilik hotel itu, polis telah merampas dadah jenis methampetamine seberat 2.25 gram (g), ketamin 100g dan pil yaba seberat 80g.
“Susulan itu, kita telah menyerbu sebuah lagi bilik di hotel sama dan menemui dadah jenis ekstasi seberat 7.78 kilogram (kg) serta peralatan memproses dadah.
“Selain dadah pihaknya turut merampas sebuah kereta Honda Civic bernilai RM80,000. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM1.08 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Raub berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sering berpindah-randah di hotel-hotel bajet bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, sindiket yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu itu membeli dadah dalam kuantiti besar sebelum dibungkus semula dan dijual pada harga RM250 sepeket.
Ujarnya lagi, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah selain ujian air kencingnya positif dadah jenis methampetamine.
Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














