PETALING JAYA – Penyanyi Noh Salleh meluahkan rasa lega selepas pembedahan tulang belakang dijalaninya di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC), berjalan lancar, semalam.
Ujar Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 41, masalah tersebut menyebabkan saraf terhimpit sehingga menimbulkan kebas tangan serta sakit belakang kronik hingga menjejaskan pergerakan harian.
“Selesai pembedahan semalam di UKMSC. Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 dan C7 menyebabkan saraf terhimpit, tangan kebas serta sakit belakang kronik sampai menyukarkan pergerakan, termasuk mengangkat baby Tara (anak).
“Proses pembedahan berjalan lancar dan dikendalikan Prof. Datuk Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin,” katanya dalam Instagram.
Vokalis kumpulan Hujan itu mengakui detik paling mendebarkan adalah lokasi pembedahan terletak hampir dengan pita suara, organ penting buat kelangsungan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Bahagian pembedahan betul-betul di belakang pita suara. Risikonya besar kerana itulah sumber rezeki saya.
“Tapi Allah jaga. Alhamdulillah. Mohon doa semua agar proses penyembuhan dipermudahkan dan keadaan kembali normal secepat mungkin,” luahnya.
Tambah pelantun lagu Rahsia Tuhan itu, perasaan bimbang tetap menyelubungi dirinya memandangkan jadual persembahan sudah sedia menanti dalam masa terdekat.
“Risau itu memang ada sebab ada persembahan hujung minggu ini.
“Namun saya sangat berterima kasih kepada semua yang mendoakan, keluarga serta sahabat terdekat,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, bapa satu anak itu turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangan yang setia berada di sisi sepanjang tempoh rawatan.
“Terima kasih Abah sebab hantar dan ambil saya. Terima kasih Mummy serta Yaya yang menjaga Tara dan Athira di rumah.
“Buat anggota Hujan Band dan Suffren, terima kasih kerana datang beri kejutan. Tidak dilupakan juga warga UKM Specialist Centre yang menjaga saya dengan baik.
“Sebenarnya malas nak cerita, tapi AG Coco kongsi gambar ketika melawat saya. Saya pula penat nak jawab satu persatu,” jelasnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada rakan artis serta peminat, rata-rata menitipkan doa agar Noh kembali pulih dan dapat meneruskan kerjaya seni seperti sediakala.
Ruang komen dibanjiri kata semangat, sokongan serta ucapan agar penyanyi itu diberi kesembuhan segera dan dilindungi sepanjang proses pemulihan. – KOSMO! ONLINE














