FIRMA guaman Susan Lee & Co melakar sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran program kebajikan konsultasi undang-undang secara percuma berskala besar pertama di negara ini baru baru ini.
Program selama dua hari yang berlangsung di Confetti, Kuala Lumpur itu dihadiri oleh 25 orang peguam profesional daripada pelbagai latar belakang.
Rakan pengurusan firma yang juga seorang peguam, Katherine Susan Lee berkata, program itu merupakan kali pertama diadakan sejak penubuhan firma tersebut.
Ujarnya, program itu mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada peserta serta rakan strategik.
Katanya, apa yang lebih bermakna, program itu mendapat pengiktirafan MBOR sebagai program kebajikan konsultasi atau perundingan undang-undang percuma.
Katherine memaklumkan, usaha itu bertujuan memberi penerangan serta nasihat undang-undang umum merangkumi pelbagai bidang kepada orang awam secara percuma.
“Keberhasilan program ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat dan sokongan penuh daripada semua pihak seperti penganjur dan rakan pelaksanaan.
“Pada program ini, keseluruhan pasukan peguam digerakkan secara serentak bagi melaksanakan satu inisiatif kebajikan masyarakat,” katanya usai program itu.

Menariknya, program tersebut mendapat sokongan bersama daripada pelbagai rakan strategik seperti MDMT 019, Inhome Group, ColdLab, OE EduGroup dan Confetti.
Mengulas lanjut mengenai pengiktirafan diterima pihaknya, Katherine berbangga dapat menerima MBOR, meskipun baru pertama kali dianjurkan.
“Kami menyifatkan ia satu penghargaan terhadap komitmen berterusan pasukan peguam.
“Ia turut mencerminkan kekuatan kerjasama rentas organisasi dalam menjayakan inisiatif berimpak sosial.
“Kami juga optimis dan komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan undang-undang pada masa hadapan.
“Matlamat kami adalah untuk mendekatkan perkhidmatan guaman kepada masyarakat serta menyumbang ke arah peningkatan kesedaran undang-undang dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah Katherine, besar harapan pasukannya agar program seumpama itu dapat terus dianjurkan dari semasa ke semasa.
Katanya, langkah itu bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendedahan awal mengenai aspek perundangan.
“Bukan sekadar itu, menerusi program ini, para peserta dan orang awam dapat meningkatkan kefahaman mereka berhubung hak serta tanggungjawab undang-undang di negara ini,” ujarnya.














