KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpengaruh dengan tawaran skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan kononnya lebih 25 kali ganda, seorang suri rumah kerugian RM50,342 diperdaya skim penipuan atau ‘scammer’.
Wanita berusia 57 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 6.14 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, suri rumah terbabit tertarik dengan tawaran kerja sambilan yang dilihatkan menerusi laman TikTok pada 13 Januari lalu.
“Mangsa yang menghubungi suspek sebaliknya ditawarkan skim pelaburan semurah RM350 yang menjanjikan keuntungan kononnya RM9,000 dalam tempoh tiga jam sahaja.
“Dia yang tertarik telah membuat pelaburan asas iaitu RM350,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, suri rumah tersebut semakin teruja apabila dimaklumkan sudah berjaya mendapat keuntungan dijanjikan menerusi pelaburan sulunh terbabit.
Beliau berkata, begitupun, wanita itu diberi syarat perlu membuat pembayaran kononnya bagi menebus keluar keuntungan berkenaan.
“Mangsa yang bersangka baik telah mengikut arahan membuat pembayaran keseluruhan RM50,342,” katanya. – KOSMO! ONLINE














