fbpx
Gambar hiasan.

‘Perbuatan ini memang berat, tapi saya hanya insan lemah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Perbuatan yang saya lakukan ini memang berat, tetapi saya hanyalah insan yang lemah. Saya minta maaf pada semua dan menyesal serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama”.

Itu alasan yang diberikan oleh seorang guru agama warga Indonesia, Kumpul, 40, dengan nada sebak dan penuh emosi ketika mengemukakan rayuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi kesalahan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki, Februari 2025.

Pada 5 Januari lalu, Kumpul telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan atas kesalahan sama melibatkan seorang lagi murid lelaki. Hakim Tasnim Abu Bakar memerintahkan hukuman itu berkuatkasa dari tarikh tangkapan 25 Disember 2025.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mohd. Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan terhadap tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju penjara. Hukuman yang dijatuhkan pada hari ini diperintahkan berjalan berasingan dengan hukuman terdahulu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak lelaki termasuk sepasang kembar itu, melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki yang ketika kejadian berumur 11 tahun di bilik guru di sebuah sekolah agama, kira-kira pukul 1 pagi, Februari, tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan berdasarkan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan turut dibacakan bersama Seksyen 16 (1), akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias dalam hujahan pemberatan hukuman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang adil dan setimpal memandangkan tertuduh mempunyai dua rekod jenayah sama serta kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Malah, katanya, tertuduh juga mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru dan seharusnya bertanggungjawab melindungi mangsa, bukannya mengkhianati kepercayaan tersebut.

“Faktor kepentingan awam seharusnya mengatasi faktor peribadi tertuduh. Hukuman setimpal bukan sahaja dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh, malah kepada bakal pesalah di luar bahawa mahkamah mengambil serius jenayah terhadap kanak-kanak.

“Ini adalah kesalahan serius terhadap kanak-kanak kerana mereka sepatutnya dilindungi bukan diambil kesempatan. Tertuduh juga mempunyai dua rekod jenayah yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah sesyen lain,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mengajar di sebuah sekolah agama mengajak mangsa bermain badminton dan bermalam bersama rakan-rakan mangsa lain di bilik guru sekolah itu sebelum kejadian tersebut berlaku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI