PETALING JAYA – Ibu bapa menyokong ujian penilaian atau peperiksaan yang akan diperkenalkan untuk murid tahun empat sekolah rendah bermula tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Rata-rata menyifatkan pengumuman itu dapat mengukur sejauh mana kemampuan murid-murid sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Di Pontian, Johor, seorang bapa, Rohaizad Abdul Rashid, 45, berkata, dia menyokong pelaksanaan matriks pembelajaran bagi anaknya Nur Shattila, 10, yang kini berada di tahun empat pada tahun ini.
Katanya, sebagai bapa, dia ingin anaknya melangkah ke tingkatan satu dengan cukup persediaan dan mampu menguasi perkara-perkara utama agar mampu mengikuti pelajaran dengan baik.
“Kita menaruh keyakinan pelaksanaan matrik pembelajaran telah melalui kajian yang mendalam bagi mengukur sejauh mana kemampuan murid-murid sebelum melangkah ke sekolah menengah nanti,” katanya.
Di Kota Tinggi, Johor, seorang ibu, Siti Hadijah Sumiri, 38, berkata, pelaksanaan peperiksaan itu adalah wajar kerana mampu memberi gambaran awal terhadap pencapaian anak-anak di sekolah.
“Saya setuju dengan peperiksaan darjah empat memang ada kebaikannya kerana kita boleh tahu tahap anak kita setakat mana.
“Peperiksaan melibatkan empat subjek teras sudah memadai sebagai penanda aras awal keupayaan murid.
“Sekurang-kurangnya bermula darjah empat lagi kita sudah boleh kesan subjek mana anak lemah dan boleh ambil tindakan awal sama ada beri bimbingan tambahan atau sokongan di rumah,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Norhaspida Yatim, 40, pula menyifatkan perkara itu dibuat bagi memastikan semua murid menguasai asas pembelajaran sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Katanya, peperiksaan tersebut akan menjadi penunjuk aras kepada anak perempuannya yang kini berada di tahun empat.
“Walaupun agak mengejut, saya tidak menganggap peperiksaan ini sebagai beban kepada anak saya dan murid tahun empat lain.
“Sebaliknya ia sekadar memastikan tahap penguasaan asas membaca, mengira dan berfikir agar lebih bersedia memasuki alam sekolah menengah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














