KUALA LUMPUR – Malaysia walaupun sudah maju membangun, tetapi masih ada penduduk Sarawak tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan diri (MyKad) menyebabkan kehidupan mereka menjadi sukar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, golongan itu berdepan kesulitan untuk bersekolah dan perlu mengeluarkan belanja tinggi mendapatkan rawatan hospital.
Justeru, katanya, Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diwujudkan kerajaan bagi menangani isu ketiadaan dokumen rasmi dalam kalangan rakyat Sarawak sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mereka.
“PPK ini tugas dia satu saja iaitu kumpul semua permohonan penduduk Sarawak di kawasan pedalaman. Mereka kena pergi dengan kenderaan pacuan empat roda (4×4), dengan bot merentas arus deras, kadangkala terpaksa menggunakan helikopter.
“Pegawai tak tunggu di pejabat. Pegawai pergi ke rumah panjang cari orang yang tiada dokumen. Hasilnya dari Julai 2023 hingga Julai 2025, kita kumpulkan 13,224 dan kita dah buat keputusan terhadap permohonan itu 12,509 dan sekarang tinggal baki 715 yang kita kena selesaikan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ali anak Biju (PN-Saratok berhubung status terkini pengeluaran dokumen individu ‘stateless’ di pedalaman Sarawak.
Menjawab soalan tambahan berhubung akses pendidikan, Saifuddin berkata, tahun lalu KDN menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan dan hasilnya seramai 12,000 pelajar dalam sistem pendidikan arus perdana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Menurut beliau, melalui inisiatif itu, kerajaan membantu menyelesaikan isu dokumentasi mereka agar hak pendidikan dapat diteruskan.
“Kita tanya kenapa tak daftar (anak), (jawapan) saya tak tahu. Kenapa tak daftar, suami saya masuk penjara. Kenapa tak daftar, suami saya masuk pusat dadah kenapa tak daftar, saya tak ada duit.
“Menunjukkan bahawa masih ada lagi segmen dalam masyarakat kita ini yang perlu dimaklumkan bahawa tanggungjawab mendaftar kelahiran segera itu adalah satu keperluan utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














