SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil Ketua Pengarang China Press berhubung kandungan dalam talian yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan kementeriannya meneliti perkara itu secara menyeluruh termasuk maklumat awal menunjukkan memang berlaku satu kesilapan di pihak syarikat media berkenaan.
“Saya minta MCMC untuk terus kendalikan siasatan dan juga memanggil ‘editor in chief’ (ketua pengarang) media tersebut,” katanya selepas melancarkan Kenderaan Autonomi Pos Malaysia di Pusat Mel Nasional di sini, hari ini.
Kelmarin, organisasi media itu didakwa memuat naik kandungan berkongsi titah Sultan Ibrahim bertajuk ‘Tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’ sebelum menukarnya kepada ‘Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’.
Mengulas lanjut, jelas Fahmi, segala kandungan berita dalam akhbar dan media sosial melibatkan dua peruntukan undang-undang berbeza.
“Laporan berita yang diterbit secara fizikal tertakluk mengikut Akta Percetakan manakala media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Justeru, kita tunggu hasil siasatan penuh yang akan diperoleh kelak,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














