PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan menerima laporan dan akan menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan penderaan melibatkan pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang tular di media sosial sejak semalam.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, laporan itu diterima daripada Timbalan Ketua Pengarah Mara selepas dimaklumkan pempengaruh terkenal, Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli.
Menurut beliau, premis tersebut menerima pembiayaan Mara bagi program pendidikan awal kanak-kanak.
“Buat masa ini terdapat dua premis di bawah pembiayaan Mara iaitu di Klang dan Bestari Jaya. Namun, kejadian yang didakwa berlaku di Kota Kemuning tidak melibatkan operator di bawah pembiayaan Mara,” katanya menerusi komen di Instagram Caprice.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan siasatan tetap akan dijalankan secara menyeluruh kerana tidak mahu Mara terus membiayai atau berkolaborasi dengan mana-mana institusi yang mempunyai rekod gagal menjaga kualiti pendidikan dan keselamatan kanak-kanak.
“Saya tidak mahu Mara membiayai dan bekerjasama dengan institusi yang mempunyai rekod tidak menjaga kualiti pendidikan, apatah lagi melibatkan soal keselamatan dan kesejahteraan anak-anak,” tegasnya.
Beliau meminta orang ramai, khususnya ibu bapa yang mempunyai maklumat berkaitan penderaan di taska terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan.
“Semua komen di ruangan posting ini saya turut minta pengurusan Mara perhalusi dan ambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang didakwa mengurung seorang kanak-kanak autisme dalam bilik stor serta memaksa seorang bayi meminum susu dengan cara dikepit menggunakan kaki telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman kejadian itu didedahkan Caprice menerusi Instagram Munafik Hunter dan meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam, selain mencetuskan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengasuh dan pengurusan taska terbabit. – KOSMO! ONLINE














