fbpx
Armizan ketika hadir pada Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN Tahun 2026 di Kementerian Perdaganan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

KPDN sasar pinda, gubal lima akta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan lima kluster reformasi undang-undang dan institusi untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sasaran itu selari dengan pelaksanaan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, langkah itu juga penting bagi memperkukuh rangka perundangan negara khususnya dalam melindungi pengguna selain memperkasa persaingan pasaran serta membina ekosistem perdagangan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Lima kluster terbabit merangkumi pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid, penggubalan undang-undang e-dagang, pengukuhan Lemon Law (Akta Perlindungan Pengguna 1999)
serta penggubalan undang-undang Harta Alih Kepentingan Bercagar,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perutusan KPDN Tahun 2026 di sini hari ini.

Katanya, pindaan terhadap undang-undang persaingan bertujuan memperkasakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), khususnya dalam membanteras amalan kartel termasuk pakatan harga, pakatan pengeluaran, pembahagian pasaran dan penipuan bida.

Armizan berkata, usaha itu selari dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap pihak yang menjejaskan persaingan sihat dan merugikan pengguna serta ekonomi negara.

Pada masa sama, katanya, KPDN juga akan membawa cadangan pindaan berkaitan industri jualan langsung bagi memastikan sektor itu terus berkembang secara beretika, telus dan bebas daripada skim piramid yang menindas pengguna.

Mengenai penambahbaikan undang-undang e-dagang pula, Armizan berkata, satu rangka perundangan khusus perlu diwujudkan berikutan peningkatan ketara transaksi dalam talian.

“Kami menerima peningkatan aduan pengguna membabitkan barangan tidak sampai, kualiti tidak menepati spesifikasi serta isu platform berpangkalan di luar negara.

“Justeru, undang-undang itu bukan sahaja bertujuan melindungi pengguna, malah membina keyakinan serta ‘trust’ terhadap ekosistem e-dagang secara menyeluruh, termasuk kepentingan pemain industri,” katanya.

Jelasnya lagi, kertas dasar berkaitan e-dagang kini dalam proses mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan sebelum dibawa ke Kabinet, dengan sasaran pembentangan rang undang-undang pada sesi Parlimen akan datang.

Sementara itu, berkaitan Lemon Law pula, beliau menjelaskan langkah pengukuhan perundangan mengambil masa kerana memerlukan libat urus menyeluruh bersama industri serta penelitian terhadap amalan terbaik antarabangsa.

Katanya, walaupun peruntukan sedia ada sudah wujud di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, terdapat beberapa kelompongan yang perlu ditambah baik khususnya melibatkan pembelian kenderaan oleh pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI