fbpx
Rohaizad (tengah) menunjukkan rokok pelbagai jenama dan minuman keras selepas menyita tiga lori kontena di lokasi berbeza ketika sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang. Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!

JKDM Pulau Pinang gagalkan seludup rokok, arak RM21.88 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Cubaan menyeludup tiga kontena rokok dan minuman keras bernilai RM21.88 juta berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Seberang Perai, Disember lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan yang dijalankan sepasukan pegawai Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Negeri di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, ketiga-tiga kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) dari Singapura pada 19 Disember lalu dan gagal membuat pengikraran yang sepatutnya.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena pertama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap menemukan sebanyak 73,000 tin minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM631,075.50.

“Pemeriksaan susulan ke atas kontena kedua dan ketiga di Sungai Jawi dan Perai pula menemukan lebih 20 juta batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran keseluruhan nilai dan cukai melebihi RM21.24 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaizad berkata, ketiga-tiga kontena itu dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan ke beberapa lokasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Susulan itu, tiga pemandu lori terdiri daripada lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI