SHAH ALAM – Tindakan tegas akan diambil terhadap pengendali akaun Facebook (FB) Masjid Bandar Tasik Puteri susulan dakwaan penyalahgunaan platform media sosial masjid itu yang didakwa bertukar menjadi laman parti politik.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tindakan itu akan dibuat pihak bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) susulan kes dibangkitkan seorang pengguna media sosial.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari atau melanggar perintah atau arahan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MAIS turut akan mengambil tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017 yang boleh membawa kepada pemecatan jawatan sebagai pegawai atau ahli jawatankuasa masjid.
“Pendirian MAIS dan JAIS dibuat berdasarkan titah Sultan Selangor yang mahu masjid dan surau di negeri sentiasa mengambil sikap tidak terlibat atau cenderung atau mencetus apa-apa perkara yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam, khususnya pengaruh politik kepartian,” jelasnya.
Tegas Mohd. Shahzihan, baginda menitahkan agar masjid dan surau di Selangor terus menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, seterusnya menjadi pusat dan nadi kekuatan umat Islam.
“Saya menyeru umat Islam untuk terus membina kekuatan dengan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan serta kesatuan umat Islam di peringkat kariah masing-masing.
“Berbezalah untuk memberi nilai tambah kepada ilmu dan amal ibadat bukan perbezaan yang menanam hasad, dendam kesumat, kebencian serta ekstrem,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran seorang individu menerusi FB dan blognya yang mempersoalkan tindakan pengendali masjid berkenaan yang menjadikan laman itu mempunyai pengaruh kepartian dengan tajuk “Dah kenapa laman rasmi masjid jadi ‘page’ Pas?”. – KOSMO! ONLINE














