fbpx
Gambar hiasan

Isu rentas sempadan dikendalikan secara aman dan rasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu rentas sempadan seperti isu ruang udara dan sempadan maritim adalah isu kompleks dan sensitif yang perlu dikendalikan secara aman dan rasional bagi mengelakkan berlaku ketegangan di lapangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian Malaysia berhubung isu itu adalah jelas dan konsisten iaitu semua pertikaian adalah berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.

“Ia termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982. Kepentingan negara akan terus dijadikan asas utama dalam sebarang tindakan yang diambil berhubung isu kedaulatan negara,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berhubung jaminan kerjasama Malaysia-Singapura dalam isu rentas sempadan seperti air, ruang udara dan maritim akan diputuskan secara adil serta tidak mencabar kedaulatan negara.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memantau rapat perkembangan dan situasi semasa perairan dan ruang udara tanah air melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Menurut beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan maritim lain komited meneruskan operasi strategik di kawasan sensitif dengan mempamerkan kehadiran aset udara dan maritim negara.

Kata beliau, pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut terpelihara di samping mempertahankan kedaulatan Malaysia.

“Kementerian Luar juga terus mengemukakan bantahan kepada mana-mana negara yang yang didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia. Dalam hal ini, kerajaan juga akan terus komited untuk menambah baik aset-aset agensi keselamatan dan agensi penguatkuasaan maritim negara termasuk perolehan kapal baharu.

“Ini bagi memastikan aset maritim negara sentiasa berada dalam keadaan baik dan mencukupi serta sedia diatur gerak untuk memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI