KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk memperluaskan konsep hab pengangkutan awam bersepadu di pusat beli-belah utama di Lembah Klang susulan pelaksanaan hab bas ekspres di Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBCC).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beberapa lokasi strategik lain telah dikenal pasti termasuk One Utama di Petaling Jaya, IOI City Mall di Putrajaya dan Sunway Pyramid, tertakluk kepada kesediaan kemudahan serta kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, konsep hab di pusat beli-belah memberi kelebihan dari segi keselamatan, keselesaan penumpang dan aliran trafik yang lebih terkawal berbanding hentian bas di tepi jalan.
“Kita tidak mahu lagi bas ekspres berhenti di lokasi yang tidak direka untuk turun naik penumpang. Sebab itu pusat beli-belah yang mempunyai kemudahan ‘bus bay’ dan akses pengangkutan awam menjadi pilihan,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport di BBCC Lalaport hari ini.
Anthony Loke menjelaskan, setiap lokasi perlu memenuhi syarat ketat termasuk ruang menunggu yang mencukupi, papan tanda yang jelas, sistem paparan maklumat perjalanan serta laluan pejalan kaki yang selamat sebelum lesen operasi boleh dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Tambahnya, pihak kementerian bersedia mempercepatkan proses pelesenan sekiranya pemilik bangunan mengambil langkah proaktif menaik taraf kemudahan yang diperlukan.
“Kita mahu wujudkan lebih banyak pilihan hab, bukan hanya bergantung kepada terminal besar seperti TBS atau Gombak. Ini memudahkan penumpang dan pada masa sama mengurangkan kesesakan di pusat bandar,” ujarnya.
Menurutnya, langkah itu juga dijangka memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan kerana pelancong boleh tiba terus di lokasi yang menawarkan kemudahan membeli-belah, makanan dan rangkaian pengangkutan awam.
“Ini adalah pendekatan jangka panjang ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih moden, selamat dan mesra pengguna,” katanya.- KOSMO! ONLINE














