KUALA LUMPUR – Hab Pengangkutan Awam di pusat beli-belah Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBCC) tidak akan bertindih dengan fungsi Terminal Bersepadu Selatan (TBS), sebaliknya berperanan melengkapkan ekosistem pengangkutan awam sedia ada, khususnya bagi perkhidmatan bas ekspres antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hab di Lalaport BBCC itu disasarkan untuk segmen perkhidmatan khusus yang membawa pelancong terus ke pusat bandar raya, berbeza dengan TBS yang menumpukan operasi berskala besar bagi perjalanan domestik.
“TBS dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) adalah terminal utama negara untuk perkhidmatan domestik. Lalaport ini pula lebih kepada perkhidmatan khusus, terutamanya bas ekspres KL-Singapura yang membawa pelancong terus ke pusat bandar.
“Jadi, ia tidak bertindih. Ia melengkapkan dan bukan menggantikan TBS,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport di BBCC Lalaport hari ini.
Katanya, sebelum ini banyak bas ekspres KL-Singapura berhenti di kawasan seperti Berjaya Times Square dan Chorus Hotel yang didapati tidak mempunyai kemudahan ‘bus bay’ yang selamat, selain menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.
Dalam masa sama, Loke berkata, kementerian memberi tempoh moratorium kepada pengusaha bas ekspres yang kini beroperasi di lokasi sedia ada bagi membolehkan peralihan dibuat secara berperingkat ke hab yang lebih sesuai.
Katanya, Lalaport BBCC sudah hampir bersedia sepenuhnya dan sekiranya semua keperluan dipenuhi, lesen operasi boleh dikeluarkan seawal Februari ini, sekali gus membuka lembaran baharu kepada konsep hab pengangkutan awam bersepadu di tengah bandar raya.- KOSMO! ONLINE














