fbpx
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: Kadar kemalangan di laluan smart lane sangat rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan bahawa tahap keselamatan di lorong ‘Smart lane’ berada pada paras terkawal dengan kadar kemalangan direkodkan sangat rendah dan tidak signifikan berbanding jumlah kenderaan yang melalui laluan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan tertinggi sebelum dan semasa pelaksanaan inisiatif ‘Smart lane’ di lebuh raya.

Menurut beliau, sebelum pengaktifan ‘Smart lane’, LLM telah mengadakan sesi libat urus bersama syarikat konsesi serta mendapatkan pandangan daripada pelbagai agensi berkaitan termasuk Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Setiap lokasi Smart lane melalui proses semakan terperinci oleh LLM dan syarikat konsesi yang melibatkan jurutera profesional bertauliah.

“Penilaian ini merangkumi aspek geometrik jalan, kekuatan struktur bahu jalan, jarak penglihatan di titik mula dan tamat serta kesesuaian sambungan kembali ke lorong utama tanpa mengganggu aliran trafik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) apakah semua lokasi ‘Smart Lane’ telah melalui penilaian keselamatan bebas dan jumlah kemalangan yang telah direkodkan semasa menggunakan ‘Smart Lane’.

Alexander berkata, analisis di beberapa lokasi ‘Smart lane’ menunjukkan trend pengurangan kemalangan yang memberangsangkan.

Kata beliau, laluan Putra Mahkota ke Southville, kadar kemalangan mencatatkan penurunan sehingga 22 peratus, manakala di laluan hentian rehat dan rawat (R&R) Rawang ke Persimpangan Rawang pula pengurangan mencecah sehingga 74 peratus berbanding sebelum ‘Smart lane’ diaktifkan.

Tambah beliau, majoriti insiden kemalangan yang direkodkan bukan berpunca daripada reka bentuk jalan, sebaliknya disebabkan faktor kecuaian manusia seperti memandu laju di ‘Smart lane’, pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat serta pencerobohan lorong kecemasan di luar waktu operasi.

Dalam pada itu, Alexander menegaskan komitmen KKR untuk melaksanakan strategi jangka panjang yang lebih mampan bagi menangani kesesakan trafik, khususnya semasa musim perayaan.

Ujar beliau, antara inisiatif utama adalah projek pelebaran dan naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Machap yang dilaksanakan secara berfasa, Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD), pelebaran lorong Lebuhraya KL-Karak, serta peralihan kepada Sistem Kutipan Tol Aliran Bebas Berbilang Lorong (MLFF)

Selain itu, katanya, kerajaan turut menggalakkan peralihan mod pengangkutan melalui projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan penambahbaikan sistem komuter bagi mengurangkan jumlah kenderaan di lebuh raya utama.

“Kesemua langkah ini dijangka memberi manfaat kepada jutaan pengguna lebuh raya dan meningkatkan keselamatan serta kelancaran trafik secara menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI