MELAKA – Seorang wanita tidak menyangka tindakannya membayar wang deposit RM8 bagi membaiki mesin basuh menyebabkan wang simpanan sebanyak RM8,800 lesap selepas menekan pautan diberikan individu mendakwa menawarkan perkhidmatan itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa iaitu seorang wanita berusia 37 tahun, pada Ahad lalu.
Katanya, kejadian berlaku selepas mangsa menemui akaun Facebook yang menggunakan nama “Mesin Basuh Dr Washy Singapore Washing Machine” dan menghubungi individu terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian telah diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM8 sebagai tempahan untuk perkhidmatan membaiki mesin basuh.
“Bagaimanapun, selepas menekan pautan bayaran yang diberikan, mangsa mendapati berlaku tiga transaksi pengeluaran wang tanpa kebenarannya daripada akaun Maybank miliknya, dengan jumlah keseluruhan RM8,800,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Katanya, menyedari dirinya ditipu, mangsa segera membuat laporan polis dan kini siasatan sedang dilakukan termasuk usaha mendapatkan maklumat mengenai transaksi kewangan dan syarikat telekomunikasi terlibat.
Ujarnya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.- KOSMO! ONLINE














