MANCHESTER – Kekalahan kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris harus dijadikan pengajaran berguna buat Manchester City bagi menghadapi Bodo/Glimt pada aksi Liga Juara-Jaura, awal pagi esok.
Tonggak tengah The Citizen, Rodri menjelaskan setiap pemain tidak boleh membiarkan kekecewaan tersebut menyelubungi mereka dan harus segera menunjukkan reaksi balas dengan lebih sempurna.
Malah, Rodri juga percaya pemain muda seperti Max Alleyne yang diturunkan pada aksi menentang The Red Devils akan mempelajari sesuatu untuk tampil lebih kompetitif bagi membantu pasukan raih kejayaan.
“Bola sepak sentiasa seperti ini, kami boleh kalah dan belajar daripada perkara yang sudah lepas. Kami hilang pemain berpengalaman, namun pemain muda sudah lakukan dengan baik dan apa yang berlaku dapat membantu mereka pada masa akan datang.
“Inilah cara untuk kami membina pasukan, adakalanya kami perlu menunggu untuk sesutau yang lebih besar. Kami tidak boleh nafikan perkara ini kerana ia adalah realiti yang kami perlu tempuh,” katanya.
Selepas mengharungi enam perlawanan awal Liga Juara-Juara, City kini berada di tangga keempat dengan 13 mata dan kedudukan itu nyata masih belum selamat untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati secara automatik.
Keadaan ini mendesak pengurus pasukan, Pep Guardiola merangka perancangan lebih kukuh memandangkan The Citizens dihimpit masalah tidak konsisten apabila hanya menang dua kali dalam enam perlawanan terakhir. – AGENSI














