fbpx
Mohamad ketika melepaskan benih ikan talapia di Puchong, semalam.

Tilapia Biofloc perkukuh keterjaminan makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara dengan melaksanakan Projek Ternakan Ikan Dalam Tangki menggunakan teknologi moden Biofloc di Wisma LKIM Puchong, semalam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program pelepasan benih ikan tilapia itu selari dengan Amanat Tahun Baharu 2026 yang menekankan keperluan memperkukuh daya tahan sektor makanan negara.

Menurut beliau, projek berkenaan menggunakan pendekatan lebih moden dan efisien berbanding kaedah ternakan konvensional, khususnya dari segi penggunaan air, kebersihan serta pengurusan ternakan.

“Teknologi Biofloc ini lebih jimat air, lebih bersih dan lebih efisien. Ia sesuai untuk diaplikasikan dalam persekitaran terhad, termasuk di kawasan bandar,” katanya di media sosial.

Dalam program itu, sebanyak 4,800 ekor benih ikan tilapia merah dilepaskan sebagai fasa permulaan dan dijangka mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat bulan dengan pulangan dianggarkan sekitar RM15,000.

Mohamad berkata, selain memberi pulangan ekonomi, projek tersebut turut berperanan sebagai platform latihan kepada pegawai LKIM dan nelayan bagi membiasakan mereka dengan teknologi ternakan moden.

“Ini bukan sekadar soal hasil jualan, tetapi bagaimana kita melatih dan membina keupayaan pemain sebenar di lapangan supaya lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten mampu memberi impak besar terhadap kedaulatan makanan negara serta kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI