TOKYO – Sebuah tangga paling menakutkan di Jepun mendapat perhatian meluas di media sosial selepas imejnya dikongsi oleh seorang jurugambar amatur, lapor portal berita Oddity Central semalam.
Dibina pada tebing sungai setinggi 10 meter di daerah Kanayamacho, Bandar Gero, Jepun, ia kelihatan hampir menegak, dengan anak tangga yang sangat sempit sehingga hampir mustahil untuk berpijak dengan selesa.
Gambar dan video tangga itu tular di internet sejak beberapa minggu lalu, namun persatuan pelancongan Gero enggan mempromosikannya sebagai tarikan pelancong kerana risiko kecederaan yang tinggi.
“Kami tidak boleh menyatakan tangga ini selamat. Jadi kami meminta orang ramai bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang risiko kecederaan,” kata seorang jurucakap kepada akhbar Mainichi Shimbun.
Tangga itu dibina sejak awal tahun 1960-an apabila pihak berkuasa tempatan memutuskan untuk membina benteng konkrit bagi melindungi Kanayamacho daripada banjir.
Tangga itu dibina selepas penduduk tempatan mengadu tiada laluan untuk mereka turun ke tebing sungai bagi memancing di Sungai Maze. – AGENSI














