KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan adik lelakinya selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM30,000 bagi melepaskan individu yang terlibat dalam kes narkotik.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Januari ini dibenarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari selepas permohonan dibuat pihak SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek yang berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an itu ditahan secara berasingan pada pukul 4.30 petang dan 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pahang.
“Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2021 hingga 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang berjumlah RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek lelaki,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE














