PETALING JAYA – Gelombang rakyat Malaysia memilih Indonesia sebagai destinasi percutian semakin ketara sejak awal tahun ini, susulan pengukuhan nilai ringgit berbanding rupiah dengan kadar tukaran mata wang RM1 bersamaan 4,173 rupiah.
Fenomena ini turut disahkan oleh agensi pelancongan, De Travel, yang menyaksikan lonjakan tempahan dua bulan pertama 2026 antara 50 hingga 100 pelanggan.
Menurut wakil De Travel, peningkatan minat pelancong Malaysia ke Indonesia didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk kos perbelanjaan lebih menjimatkan, kemudahan penerbangan yang kerap, serta jarak perjalanan yang dekat.
“Pengukuhan nilai ringgit berbanding rupiah juga memberi keyakinan kepada pelanggan untuk merancang percutian, khususnya ke destinasi yang menawarkan nilai tinggi dengan bajet berpatutan,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, berdasarkan rekod tempahan De Travel, destinasi paling popular ialah Jakarta dan Bandung, khususnya melalui pakej Jakarta–Bandung menggunakan Whoosh Train.
“Tempahan masih didominasi oleh keluarga dan pasangan, namun pelancong solo dan kumpulan kecil juga semakin meningkat, khususnya golongan muda yang mencari pengalaman baharu.
“Kos purata bagi tempoh empat hari tiga malam hingga lima hari empat malam ialah antara RM1,600 hingga RM2,200, sudah termasuk penerbangan, penginapan dan aktiviti,” jelasnya.
Dalam pada itu, pegawai pemasaran sebuah agensi pelancongan, Nur Iwani Kama, 23, berkata, percutian dalam jangka masa pendek ke Indonesia juga semakin popular terutama dengan kos perbelanjaan yang lebih rendah.
“Kejatuhan nilai rupiah juga memberi kelebihan kepada pelancong untuk menikmati lebih banyak aktiviti dengan bajet yang lebih kecil selain membeli-belah.
“Destinasi seperti Jakarta dan Bandung untuk membeli belah selain permintaan golongan muda ke Bromo dan Bali,” ujarnya.
Ketua pegawai operasi sebuah agensi pelancongan khusus ke Indonesia, Marjana Darus, 31, berkata peningkatan ketara sehingga 10 peratus ke 20 peratus berbanding tahun sebelum ini.- KOSMO! ONLINE














