MELAKA – Jumlah permohonan penukaran MyKad di negeri ini melonjak 140 peratus susulan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Budi95 yang memerlukan pengesahan identiti menggunakan kad pengenalan.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Mohd. Dzulkarnain Baharuddin berkata, peningkatan mendadak itu direkodkan sejak awal pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan.
Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu iaitu selepas pelaksanaan Sara, seramai 1,820 individu telah membuat permohonan penukaran dan jumlah terus meningkat secara mendadak selepas pelaksanaan Budi95.
“Lonjakan lebih besar berlaku selepas pelaksanaan Budi95 pada September lalu dengan 4,269 pemohon membuat penukaraan MyKad. Kalau kita buat perbandingan peratusan Sara, terdapat peningkatan 16 peratus apabila kita cuma terima 1,576 permohonan dalam tempoh sama pada 2024.
“Sejak pelaksanaan Budi95 pada September lalu, sebanyak 1,776 pemohonan meningkat kepada 4,269 pemohon,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengarah JPN Melaka Sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh, di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan permohonan dibuat disebabkan masalah cip yang gagal dibaca mesin di premis tertentu. – KOSMO! ONLINE














