KLUANG – Seorang pekerja kontraktor menemui ajal selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kenderaan yang terbabas di Kilometer 79 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Taman Sri Impian, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohamad Nor Azwan Abd. Aziz, 34, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke Kota Tinggi.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum memasuki laluan bertentang dan bertembung dengan motosikal mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke dalam belukar, manakala Perodua Alza melanggar sebatang pokok di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Menurut Bahrin, perlanggaran itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu MPV mengalami gegaran otak selain luka-luka di badan, manakala penumpang wanita patah tangan kanan dan kaki kiri. Kedua-dua mereka menerima rawatan di hospital. Bayi perempuan berusia setahun yang menaiki kenderaan sama tidak mengalami kecederaan.-KOSMO! ONLINE














