KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes khianat menggunakan api sehingga mengakibatkan sebuah motosikal musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Serkut 1, Taman Pertama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pengadu memaklumkan motosikal jenis Honda miliknya diletakkan dalam keadaan baik kira-kira pukul 11.15 malam, kelmarin.
“Pengadu dikejutkan oleh jiran yang memaklumkan bahawa motosikal tersebut telah dibakar oleh seorang lelaki yang tinggal di kediaman berhampiran pada pukul 3 pagi, semalam.
“Akibat dari kejadian berkenaan, pengadu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Cheras pada hari sama bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Rosdi berkata, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras telah menahan seorang lelaki berusia 50-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di tepi Jalan 6/95B, Taman Cheras Utama kira-kira pukul 6.30 petang.
Jelasnya, suspek dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pada hari ini.
“Lelaki berkenaan telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














