SHAH ALAM – Seorang lelaki yang memiliki tiga rekod jenayah ditemukan mati dibunuh dalam kejadian di Klang Utara dekat sini semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima maklumat pada pukul 7.26 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di lokasi tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan warga tempatan berusia 31 tahun dan memiliki tiga rekod jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan satu lagi di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya.
“Setakat ini siasatan masih diteruskan termasuk bagi mengetahui motif pembunuhan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Muhamad Ramli di talian 012-939 2198 atau Bilik Gerakan IPD Klang Utara menerusi 03-3291 2222. – KOSMO! ONLINE














