KUALA LUMPUR – Aksi sukar dihadapi beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ketika meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, bekas gandingan No.1 dunia itu dipaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menewaskan beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-17.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, beregu yang diberi julukan DinFei itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras dalam kedua-dua set permainan sebelum menang dalam tempoh 31 minit.
Indonesia Masters mampu menjadi medan terbaik buat beregu No.9 dunia itu menebus kekecewaan selepas tersingkir awal dalam dua kejohanan terdahulu, iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Menjelang pusingan kedua esok, Sze Fei-Izzuddin akan bertemu sama ada beregu Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo ataupun Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan.
Satu lagi beregu lelaki profesional, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-13, 21-18.
Mereka dijadualkan berdepan pemenang perlawanan antara beregu tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dan satu lagi beregu negara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao. – KOSMO! ONLINE














