SEREMBAN – Empat individu termasuk tiga pegawai sebuah jabatan kerajaan di negeri ini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM580,000.
Sumber berkata, sogokan itu diminta dan diterima daripada sebuah syarikat jururunding bagi kelengkapan kawalan pencemaran.
Perintah reman sehingga 24 Januari ini dikeluarkan Majistret Nurul Farha Ismail selepas permohonan dibuat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an itu ditahan di sekitar negeri ini menerusi Op Mickey pada pukul 5.30 petang semalam.
“Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 dan 2025 sebagai balasan menyalurkan maklumat syarikat-syarikat yang mempunyai masalah sisa buang elektrik dan elektronik (e-waste).
“Suspek disyaki menerima wang secara berperingkat iaitu sekali pada 2020 sebanyak RM180,000 dan dua transaksi pada Januari dan Februari 2022 masing-masing berjumlah RM200,000. Kesemua wang itu diperoleh melalui transaksi pindahan ke akaun bank salah seorang suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE














