fbpx
Jika tiada kebocoran hasil nilai daripada kutipan cukai, dapat manfaat yang besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial rakyat di negara ini. -Gambar hiasan

Ekonomi bayangan jejas usaha kerajaan tingkatkan kutipan cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kewujudan ekonomi bayangan khususnya perdagangan rokok haram atau rokok seludup adalah antara isu utama yang akan terus menjejaskan usaha negara meningkatkan kecekapan kutipan cukai dan kepelbagaian asas hasil negara.

Menurut Pengarah Urusan Datametrics Research & Information Centre (DARE), Pankaj Kumar, ini adalah satu ‘kebocoran’ lama yang akan terus menjejaskan usaha kerajaan.

Ini dapat dilihat kepada data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), yang mana ia memberikan gambaran jelas mengenai cabaran tersebut, antaranya adalah bagi tempoh Januari hingga November 2025, jumlah nilai rampasan melibatkan barangan bercukai, termasuk duti dan cukai yang tidak dibayar, meningkat sebanyak 17.5 peratus tahun ke tahun  kepada RM1.8 bilion. 

“Daripada jumlah ini, rampasan berkaitan rokok sahaja melibatkan lebih daripada 526 juta batang, dengan anggaran cukai tidak dibayar melebihi RM360 juta.

“Sebagai perbandingan, hasil cukai yang terlepas sebanyak RM360 juta ini adalah bersamaan dengan sekurang-kurangnya tambahan 15 peratus peruntukan kepada 22 juta rakyat Malaysia di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya dalam kenyataan.

Rokok seludup yang dirampas di dalam kontena lori. -Gambar hiasan

Pankaj menerangkan, angka-angka ini mencerminkan keupayaan penguatkuasaan dan keberkesanan operasi yang wajar dipuji, namun, apabila dilihat dari sudut ekonomi yang lebih luas, ia menimbulkan persoalan yang lebih mendalam: Adakah peningkatan nilai rampasan menandakan masalah ini berjaya dibendung, atau sekadar mencerminkan pasaran haram yang masih besar, menguntungkan dan berdaya tahan dari segi struktur?

Tambah beliau, daripada aspek operasi pula, data ini menunjukkan tahap penguatkuasaan yang berterusan serta pendekatan yang lebih tertumpu kepada rampasan bernilai tinggi.

Ini adalah strategi yang munasabah dalam persekitaran sumber yang terhad dan rangkaian penyeludupan yang semakin canggih.

“Namun, hasil pasaran menceritakan kisah yang lebih kompleks, anggaran menunjukkan bahawa pasaran rokok haram di Malaysia bernilai sehingga RM5 bilion setahun.

“Ini bukan kebocoran kecil di pinggir sistem, tetapi petunjuk kegagalan untuk mengurangkan permintaan terhadap produk haram secara ketara, walaupun penguatkuasaan di pihak bekalan semakin diperkukuh.

“Paradoks ini sukar diabaikan. Jika penguatkuasaan semata-mata mencukupi, saiz pasaran sepatutnya menyusut dari semasa ke semasa. Sebaliknya, pasaran ini dilihat menyesuaikan diri,” terangnya.

Penguatkuasa menunjukkan barangan termasuk rokok seludup yang berjaya dirampas dalam satu operasi. -Gambar hiasan

 Pankaj memberitahu, sindiket terus berinovasi dengan menggunakan saluran yang pelbagai dengan logistik yang semakin kompleks bagi mengelakkan pengesanan. 

Penggunaan kenderaan persendirian dan mewah untuk mengangkut rokok haram, termasuk rampasan baru-baru ini di Terengganu melibatkan 352,800 batang rokok bernilai RM319,228.80 juga menggambarkan betapa pantas pasaran ini menyesuaikan diri terhadap tekanan penguatkuasaan.

“Dalam konteks ini, peningkatan nilai rampasan perlu ditafsir dengan berhati-hati. Ia menunjukkan kejayaan intersepsi, namun pada masa yang sama mencadangkan bahawa perdagangan haram masih berdaya maju dari segi komersial dan cukup menguntungkan untuk menyerap tekanan penguatkuasaan tanpa kehilangan momentum yang ketara,”ujarnya.

Dalam pada itu, di luar penguatkuasaan, dinamik pasaran yang lebih luas terus mempengaruhi kelangsungan perdagangan haram, walaupun aktiviti penguatkuasaan kekal kerap dan meliputi kawasan geografi yang luas. 

Laporan JKDM menunjukkan rampasan bernilai tinggi secara berkala di pelbagai negeri.

Pada Disember 2025 sahaja, JKDM Kelantan memintas lebih 1.14 juta batang rokok haram bernilai hampir RM1 juta, manakala Pahang merekodkan rampasan rokok dan minuman keras tanpa cukai bernilai RM3.7 juta dalam empat kes. 

Di Sarawak, sebanyak 3.43 juta batang rokok haram dan lebih 70,000 liter minuman keras tanpa cukai, bernilai RM4.2 juta, ditemui di sebuah kediaman di Sibu.

“Walaupun usaha ini berterusan, struktur harga dalam pasaran tembakau yang sebahagiannya dipengaruhi oleh dasar eksais terus berinteraksi dengan tingkah laku pengguna dalam cara yang sukar ditangani melalui penguatkuasaan semata-mata,” katanya.

Anggaran serantau menunjukkan bahawa kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara secara kolektif kehilangan kira-kira AS$3.7 bilion setiap tahun akibat perdagangan tembakau haram.

Pengurusan ekonomi bayangan secara berkesan memerlukan bukan sahaja penguatkuasaan yang berterusan, tetapi juga rangka dasar yang secara konsisten menghakis logik ekonomi perdagangan haram dan mengukuhkan integriti sistem formal. 

Walaupun langkah penguatkuasaan kerajaan berjaya mengekang bekalan rokok haram, tembakau seludup masih menular dalam sektor runcit tidak formal.

“Instrumen dasar perlu dinilai berdasarkan hasil (kadar prevalens rokok haram), bukan sekadar aktiviti (jumlah dan nilai rampasan), memandangkan usaha penguatkuasaan tidak secara langsung memulihkan hasil cukai yang hilang,” jelas beliau.

Pankaj menegaskan,  kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan nilai barangan seludup yang dirampas, tetapi melalui pengurangan berterusan dalam bahagian pasaran, kebocoran hasil dan jurang pematuhan. 

Tambah beliau, selagi pasaran rokok haram kekal besar dan adaptif, ekonomi bayangan akan terus mengenakan kos senyap tetapi signifikan terhadap kerajaan serta keupayaannya untuk menjana hasil cukai tambahan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI