JAKARTA – Jalan Gunung Sahari, Jakarta Utara yang digenangi air banjir, bertukar menjadi ‘taman tema air’ apabila dipenuhi kanak-kanak yang mandi-manda pada hujung minggu lalu, lapor laman berita Kumparan.
Dalam beberapa video tular di media sosial, kanak-kanak dilihat berlari dalam air banjir, bahkan ada yang berenang.
Tiada satu pun kenderaan melintas, menyebabkan orang ramai memenuhi jalan raya untuk bermandi-manda.
Seorang penduduk setempat, Anwar, 49, berkata, aras air banjir kali ini adalah paling tinggi berbanding sebelumnya.
“Aras airnya paling tinggi kali ini. Saya juga turut sama (bermain air),” katanya.
Seorang lagi penduduk, Slamet, 29, berkata, keadaan penduduk bermandi-manda seperti itu sering terjadi terutamanya ketika hari cuti.
“Namun, kebimbangan tetap ada kerana terdapat sungai di kawasan berdekatan.
“Kami juga bimbang sekiranya ada jangkitan kerana air kotor,” katanya. – AGENSI














