KOTA BHARU – Seramai 99 penduduk Kelantan boleh memulakan aktiviti mendulang emas secara sah tidak lama lagi selepas kerajaan negeri meluluskan permohonan mereka esok.
Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Datuk Nik Raisnan Daud berkata, penduduk di Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai itu merupakan kumpulan pertama yang diluluskan selepas mereka mengemukakan permohonan pada 1 Januari lalu.
“Bagi permohonan yang diluluskan, mereka boleh mengambil lesen di Pejabat Pengarah PTG di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri mengeluarkan lesen kebenaran bagi menjalankan aktiviti mendulang emas bermula Rabu ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, rakyat yang memiliki lesen itu boleh menjalankan aktiviti secara sah di sungai-sungai yang diwartakan.
Lima kawasan sungai diwartakan bagi fasa pertama adalah sepanjang 4 kilometer (km) Sungai Tadoh di Jeli, masing-masing 2 km di Sungai Gentiang (Kuala Krai), Sungai Galas (Gua Musang), Sungai Bertam (Tanah Merah) dan Sungai Pergau (Jeli).
Pegawai penguat kuasa akan memantau aktiviti tersebut dan pendulang berlesen juga bebas untuk mendulang di lokasi yang diwartakan, namun tidak boleh mengamalkan budaya ‘cop’ kawasan. – KOSMO! ONLINE














