fbpx
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini menetapkan 16 Februari depan sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red terhadap bekas isteri, Adira.

16 Februari depan bicara pengesahan lafaz rujuk Datuk Red, Adira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini menetapkan 16 Februari depan sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red terhadap bekas isterinya penyanyi, Adira Suhaimi.

Tidak memperincikan sama ada rujuk tersebut berlaku secara lafaz atau sebaliknya, peguam syarie yang mewakili Red iaitu Nor Haiza Marina Mat Ramli berkata, perbicaraan tersebut bakal dilakukan secara tertutup dan perlu dihadiri oleh plaintif serta defendan.

“Hari ini adalah sebutan pertama untuk kes pengesahan lafaz rujuk yang telah difailkan Datuk Red semasa tempoh idah selepas perceraian dengan Adira.

“Jadi hari ini sebutan bagi pihak defendan memasukkan pembelaan untuk dia nak jawab tuntutan di mahkamah dan kita dimaklumkan tadi oleh peguam syarie pihak defendan bahawa Adira tidak dapat hadir.

“Jadinya, kes ini telah ditangguh untuk perbicaraan secara tertutup pada 16 Februari depan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Tambah Haiza, pihaknya juga menghantar satu surat peringatan kepada Adira berkaitan hantaran-hantaran media sosial mengenai kes tersebut dan juga halangan komunikasi dengan anak-anak.

“Pada sebutan hari ini juga kita ada beri satu surat peringatan kepada pihak defendan dan juga keluarganya berkenaan dengan kes rujuk ini iaitu hantaran-hantaran dalam media sosial.

“Ramai sangat yang ulas, jadi kita ada bagi satu surat peringatan berkenaan perkara tersebut dan juga berkenaan dengan surat peringatan mengenai halangan komunikasi Red (Adnan) dengan anak-anak serta Adira.

“Buat masa ini Red kalau nak komunikasi dengan anak-anak perlu melalui orang tengah, bukan melalui Adira,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu pengesahan tersebut kerana enggan menganggu perbicaraan mahkamah kelak.

“Buat masa ini kami tak boleh nak jelaskan sangat sebab dalam proses menanti hari perbicaraan yang akan dijalankan secara tertutup.

“Kami tak mahu main sebarang sentimen dan enggan semua itu mengganggu urusan perbicaraan nanti ada sebarang anggapan luar,” jelasnya.

Terdahulu, Adnan memfailkan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April lalu.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI