ULIM – Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah tiga beranak di Tanah Perkuburan Islam Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Mutiara, Sungai Kob, di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Affan Mikhael, 2, dan Muhammad Aqeel Afnan, 4, selamat disemadikan di dalam satu kubur kira-kira pukul 6.15 petang tadi.
Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga termasuk dari Terengganu, rakan-rakan dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir.
Isteri Allahyarham Muhammad Syazwan, Nor Hamiza Halid, 25, sesekali dilihat mengalirkan air mata sepanjang berada di masjid bagi urusan solat jenazah.
Ketiga-tiga jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 4.15 petang selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini.
Turut hadir menziarahi dan menunaikan solat jenazah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli.
Dalam nahas kira-kira pukul 5 petang semalam, tiga beranak terbabit maut di lokasi kejadian selepas kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE














