PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan berhubung kes membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pihak pendakwa raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan melibatkan Op Parasit dan Op Star itu dikemukakan pada hari ini dengan cadangan pertuduhan bagi tujuan kajian serta arahan lanjut.
“Sebarang perkembangan berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ringkas, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan SPRM berjaya menyita dan merampas keseluruhan wang tunai serta aset bernilai RM16.1 juta hasil siasatan menerusi kedua-dua operasi tersebut.
Bagi Op Parasit, jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM11.4 juta, manakala Op Star melibatkan rampasan bernilai RM4.7 juta.
Azam dilapor berkata, bagi Op Parasit, wang tunai berjumlah RM4.4 juta telah dirampas selain mata wang asing bernilai RM1.4 juta serta sebuah kenderaan Range Rover SVR dianggarkan bernilai RM360,000.
Turut dirampas ialah 26 unit jam tangan mewah jenama Rolex bernilai RM2.3 juta, barang kemas berjumlah RM294,039.90, dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas seberat 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas seberat 150 gram bernilai RM102,000 serta dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780. – KOSMO! ONLINE














