JITRA – Seorang pemandu van warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian gadis berusia 22 tahun di Napoh, Khamis lalu.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yusof Senkonam, 60, memandangkan dia tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd. Sobri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu van jenis Toyota Hiace secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal jenis Modenas, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad.
Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam, di sini kira-kira pukul 10.30 malam, 15 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda minimum RM20,000 serta maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan mahkamah menetapkan 8 Februari depan bagi mendapatkan jurubahasa dalam bahasa Thai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Hedzir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.15 pagi tadi dengan menaiki trak polis.
Dia sempat melambai dan tersenyum kepada ahli keluarga yang hadir bagi mengikuti prosiding pertuduhan.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan seorang gadis yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut dirempuh sebuah van dari Thailand yang melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Napoh, di sini.
Nahas kira-kira pukul 10.15 malam, Khamis lalu itu meragut nyawa Fatin Nursyafikah dari Kampung Bukit Beruas, di sini.
Pembantu kedai makan itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika van Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 60 tahun itu dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak, menuju ke Satun, Thailand. -KOSMO! ONLINE














