BANGKOK – Satu klip video menunjukkan seorang lelaki warga asing berguling-guling di tengah jalan yang sibuk di Phuket menjadi tular di internet, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kejadian pelik itu berlaku semasa trafik sesak berhampiran tapak karnival muzik, EDC Thailand 2026 kelmarin.
Rakaman video berdurasi 12 saat itu asalnya dimuat naik oleh laman Facebook PhuketTimes. Ia menunjukkan lelaki itu kelihatan keliru ketika berbaring seterusnya berguling melintasi Jalan Ban Don–Choeng Thale (Pasak).
Seorang lelaki lain, dipercayai rakannya, dilihat bergegas masuk untuk menarik pelancong tersebut dan mencegah daripada berlaku kemalangan.
Rakaman video itu menimbulkan kebimbangan keselamatan kerana kenderaan dilihat cuba mengelak daripada melanggar lelaki itu di jalan yang sesak.
Pengguna media sosial mempersoalkan keadaannya dengan mereka membuat spekulasi sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang.
PhuketTimes menyiarkan klip video itu bersama kapsyen: “EDC ada segalanya! Tak tahu apa yang merasuk lelaki ini”.
Seorang netizen berkata, tingkah laku lelaki itu seperti dia berada di bawah pengaruh cendawan psikedelik sekali gus mendorong spekulasi lanjut mengenai potensi penggunaan dadah di kawasan sekitar festival itu. – AGENSI














