SHAH ALAM – Penyelesaian saman fitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dianggap kemenangan besar kerana tiada bukti mengaitkan Najib dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib berkata, ini selepas Tommy mengakui dalam kenyataannya di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiada keterangan mengaitkan perkara berkenaan sejak penerbitan buku memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ pada tahun 2021.
“Ini adalah mustahak kepada Najib. Tommy sendiri mengakui bahawa sejak bukunya diterbitkan, beliau tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya, walaupun beliau difahamkan ada siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
“Jadi, boleh dikatakan ini kemenangan kepada Najib. Ia sepatutnya menamatkan semua khabar angin dan cakap-cakap di kedai kopi sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan kompleks mahkamah di sini hari ini.
Shafee menekankan bahawa Najib tidak mementingkan pampasan wang, sebaliknya mahu menegakkan reputasinya susulan bertahun-tahun khabar angin dan tuduhan palsu yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya.
“Anak guam saya (Najib) sangat gembira kerana bertahun-tahun beliau kecewa akibat tiada sebarang bukti, namun khabar angin palsu terus tersebar mendakwa terlibat dalam pembunuhan.
“Hari ini, Najib lega kerana akhirnya wujud penyelesaian dan Tommy mengakui bahawa sejak 2021 tiada bukti atau sebarang keterangan yang mengaitkan perkara itu,” jelasnya.
Terdahulu, prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Tommy menerusi peguamnya, Alan Adrian Gomez, memberitahu mahkamah bahawa tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sejak penerbitan bukunya pada 2021.
Thomas sebagai defendan pertama juga memaklumkan akan memasukkan kenyataan tersebut sekiranya bukunya itu dicetak atau diterbitkan semula.
Defendan kedua iaitu GB Gerak Budaya Enterprise Sdn. Bhd diwakili Peguam R. Gokul
Hakim Datuk Khadijah Idris kemudiannya merekodkan penyelesaian saman itu selepas persetujuan dicapai secara baik.
“Justeru, saman sivil plaintif ditarik balik tanpa perintah kos dan tanpa kebenaran untuk memfailkan semula,” katanya.
Untuk rekod, Najib mengemukakan saman terhadap bekas Tommy dan penerbit buku My Story: Justice In The Wilderness kerana mendakwa memfitnahnya apabila mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya pada Oktober 2021.
Dalam saman tersebut Najib berkata,
Tommy menulis dan menyebabkan buku berkenaan diterbitkan yang mana defendan membuat kenyataan fitnah yang serius terhadapnya dalam bab ke-42 buku itu dengan tajuk “Altantuya.” – KOSMO! ONLINE














