PETALING JAYA – Amalan minum teh bersama hidangan utama dipercayai boleh mengurangkan penyerapan zat besi dalam badan yang akan meningkatkan risiko masalah kesihatan, khususnya anemia.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, teh mengandungi sebatian semula jadi dikenali sebagai tanin yang boleh mengikat zat besi daripada makanan seperti ayam, daging dan sayur-sayuran berdaun hijau apabila diambil secara serentak.
“Apabila zat besi diikat oleh tanin, usus kita tidak dapat menyerap zat tersebut. Akhirnya, makanan yang dimakan keluar semula sebagai najis tanpa sempat memberi manfaat kepada darah,” tulisnya.
Menurut PHM, keadaan itu menyebabkan zat besi gagal diserap oleh usus walaupun makanan yang dimakan kaya dengan nutrien penting.
“Zat besi sangat diperlukan untuk pembetukan sel darah merah. Jika penyerapan terganggu secara berterusan, seseorang boleh mengalami keletihan melampau, pucat, mudah mengah dan rambut gugur,” katanya.
Tambahnya, situasi itu antara punca ramai individu mengalami masalah kurang darah atau anemia defisiensi zat besi, terutama dalam kalangan wanita.
Bagaimanapun PHM menjelaskan teh tidak perlu dielakkan sepenuhnya kerana ia juga mengandungi antioksidan yang bermanfaat kepada kesihatan.
Orang ramai disarankan mengamalkan peraturan satu hingga dua jam bagi menjarakkan pengambilan teh selepas menikmati hidangan berat yang kaya zat besi.
“Teh ada khasiat antioksidan yang bagus, cuma kena pandai pilih masa. Amalkan peraturan satu jam. Kalau makan lauk berat yang kaya zat besi, minumlah air kosong atau jus buah terlebih dahulu.
“Tunggu sejam atau dua jam selepas makan, barulah minum teh kesukaan anda,” kata PHM. – KOSMO! ONLINE














