fbpx
Mohamed Khaled ketika meninjau perumahan Residensi Sateria@Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

Mindef lapor polis, sebaran sulit perjawatan ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef)  membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat sulit berkait perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan itu juga bagi memastikan supaya perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

Katanya, dalam mengisi kekosongan jawatan tertentu di dalam ATM, ia mesti diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu, namun maklumat sulit berkenaan telah disebarkan kepada khalayak.

“Keputusan untuk mengisi jawatan dalam ATM perlu dibincangkan di peringkat Majlis Angkatan Tentera, tetapi majlis ini hanya mengesyorkan. Setiap jawatan yang kita bincang itu untuk disyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong ada dua, tiga nama, bukan satu nama sahaja, tapi maklumat (tersebar) letak satu.

“Yang di-Pertuan Agong mesti perkenan, meluluskan, manakala Majlis Angkatan Tentera mengesyorkan. Itu dalam Perlembagaan, tapi belum sampai kepada Agong untuk diperkenankan, dah ada orang (sebar),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian SASar Residensi Sateria@Sungai Besi, Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, Kementerian Pertahanan tidak pernah mendedahkan nama mana-mana pegawai pemerintah yang ditempatkan di kem-kem di seluruh negara kepada umum.

“Kita banyak musuh, dalam tentera antara negara, kita perhati satu sama lain. Kita nak tahu siapa jaga tertentu.

“Banyak pihak pun nak tahu siapa jaga di Kuantan, Gerik dan sebagainya. Sebab itu kita tak bagitahu, tapi orang sebarkan sebagainya,” katanya.

Menerusi kenyataan Kementerian Pertahanan semalam, pihak tersebut menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit berhubung urusan perjawatan strategik ATM di media sosial.

Pihak kementerian memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan perkara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI