ALOR SETAR – “Lembik lutut apabila melihat gambar dua anak terbaring di atas rumput dengan wajah pucat lesi sebelum dimaklumkan suami dan dua anak saya itu sudah meninggal dunia.”
Demikian luah Nor Hamiza Halid, 25, yang kehilangan suami, Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, serta dua anak mereka, Muhammad Affan Mikhael, 2, dan Muhammad Aqeel Afnan, 4, dalam nahas membabitkan dua kereta di Jalan Kulim-Mahang, Kulim dekat sini kira-kira pukul 5 petang semalam.
Dalam kemalangan itu, tiga beranak tersebut maut di lokasi kejadian selepas kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurut Nor Hamiza, dia melihat gambar kejadian yang dihantar oleh rakannya menerusi aplikasi WhatsApp ketika sedang menunggu ketibaan jenazah di Unit Forensik Hospital Kulim.
“Selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu, saya terus ke forensik dan ketika itu saya sudah tahu suami serta kedua-dua anak saya sudah tiada. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya kerana kehilangan tiga insan tersayang serentak dalam sekelip mata.
“Ketika proses pengecaman, saya lihat jenazah suami dan anak-anak tidak mengalami sebarang luka. Mereka kelihatan seperti sedang tidur,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Mengimbas kembali kejadian, katanya, suami dan dua anaknya itu dalam perjalanan untuk menjemputnya pulang dari tempat kerja di sebuah kedai makan di Sungai Ular, Kulim.
“Saya menghantar WhatsApp kepada suami kira-kira pukul 5.10 petang semalam meminta dia menjemput saya di tempat kerja, namun dia tidak membalas. Ketika itu saya sudah berasa tidak sedap hati.
“Kira-kira setengah jam kemudian, saya cuba menghubunginya tetapi adik ipar yang menjawab panggilan dan memaklumkan suami terlibat kemalangan. Dia hanya memberitahu keadaan kereta teruk tanpa memaklumkan keadaan suami dan anak-anak,” ujarnya.
Katanya, hidupnya kini terasa sunyi tanpa kehadiran suami dan dua anak, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya dimaklumkan sebelum kejadian, arwah hanya membawa adik kerana abang pada mulanya enggan ikut. Namun, abang berubah fikiran dan turut serta apabila arwah berpatah balik ke rumah untuk mengambil bantal adik yang tertinggal.
“Arwah keluar awal kerana mahu membawa anak-anak melihat bas berhampiran tempat kerja saya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














