SUNGAI BULOH – Polis mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah di Pangsapuri Mentari, Shah Alam, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan orang hilang (OH) dibuat oleh seorang wanita tempatan kira-kira pukul 1.42 pagi Ahad.
Menurutnya, pengadu memaklumkan anak lelakinya, Litesh Kumar Arivanand, telah keluar dari rumah pada 17 Januari 2026 kira-kira pukul 5.30 petang dan sehingga kini masih belum pulang.
“OH berketinggian sederhana kira-kira 1.63 meter dengan berat lebih kurang 40 kilogram, berambut pendek lurus berwarna hitam serta berkulit coklat gelap
“Pakaian terakhir yang dipakai mangsa ialah kurta berwarna biru cair, seluar jeans biru gelap dan selipar berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menjumpai remaja tersebut diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Sarjan Norsamsila Daud di talian 017-870 1889 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














