SEPANG – Cubaan mengimport bunga ros segar tanpa permit sah terbongkar apabila Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas komoditi pertanian itu di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA, semalam.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, rampasan dilakukan oleh Bahagian Pemeriksaan Barangan ke atas satu konsainan import sekitar pukul 1 petang.
Menurut kenyataan itu, hasil semakan mendapati barangan berkenaan merupakan bunga ros segar yang diimport dari India tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebanyak tiga kotak bunga ros segar dengan berat keseluruhan 46 kilogram,” katanya hari ini.
Jelas AKPS, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport komoditi pertanian tanpa permit import Maqis yang sah.
Tambahnya, kesemua barangan rampasan telah ditahan bagi tindakan lanjut mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan kemasukan barangan pertanian demi melindungi keselamatan biosekuriti negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














