PUTRAJAYA- Kementerian Luar Negeri menyifatkan masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam insiden perlanggaran dua buah kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol, semalam.
Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Sepanyol di Córdoba, serta pihak pengendali kereta api yang terlibat.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan insiden ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid,” katanya hari ini.
Dalam insiden itu semalam, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam nahas melibatkan dua kereta api berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol.
Kejadian berlaku berhampiran Adamuz dekat bandar Cordoba, apabila sebuah kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir ke landasan bersebelahan.
Kereta api kedua yang dalam perjalanan dari arah bertentangan, Madrid ke Huelva, turut tergelincir. – KOSMO! ONLINE














