KLANG – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa dakwaan kononnya wujud ‘Team B’ dalam parti itu adalah tidak benar dan tidak berasas.
Beliau berkata, perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seperti didakwa sebelum ini.
“Saya tidak tahu dari mana ia (isu itu) datang dan perkara seumpama itu tiada berlaku. Ingin ditegaskan bahawa tiada team A, B atau C. Hanya satu team iaitu team DAP,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025 di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pelbagai kenyataan dikeluarkan yang bertentangan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada Team B.
Timbalan Perdana Menteri ketika ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 berkata perkara itu dimaklumkan sendiri kepada beliau oleh Anthony.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, perbezaan pandangan dalam sesebuah parti adalah perkara biasa, namun DAP kekal sebagai parti yang bersatu padu dan berdisiplin.
“DAP tidak boleh dipisahkan oleh mana-mana pihak. Pasukan kita kuat dengan satu suara dan tidak akan terperangkap dalam sebarang isu perpecahan atau divisyen seumpama itu,” ujarnya.
Tambah beliau, parti itu akan terus bersama pentadbiran kerajaan sedia ada dengan memfokuskan visi membina negara dan membantu rakyat. – KOSMO! ONLINE














