WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif baharu sehingga 25 peratus ke atas beberapa negara Eropah melainkan perjanjian berjaya dicapai untuk pembelian Greenland, lapor saluran berita CNN.
Pengumuman itu dilihat meningkatkan usaha jangka panjang Trump untuk mengawal wilayah Artik yang diperintah oleh Denmark tersebut.
Trump berkata, beliau akan mengenakan tarif 10 peratus ke atas mana-mana dan semua barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland bermula 1 Februari ini.
Ia kemudian akan meningkat kepada 25 peratus pada 1 Jun depan sehingga persetujuan dicapai.
“Kami telah memberi subsidi kepada Denmark dan semua negara Kesatuan Eropah (EU) serta negara-negara lain selama bertahun-tahun dengan tidak mengenakan tarif kepada mereka atau sebarang bentuk imbuhan lain,” tulis Trump dalam catatan di platform Truth Social.
“Kini, selepas berabad-abad, sudah tiba masanya untuk Denmark membalas budi. Keamanan dunia dipertaruhkan!” tambahnya.
Trump tidak menyatakan jenis tarif yang beliau rancang untuk dikenakan ke atas negara-negara Eropah, mahupun sama ada tarif 10 peratus itu adalah tambahan kepada apa yang telah mereka bayar. – AGENSI














