JAKARTA – Pesawat ATR 42-500 yang sebelum ini dilaporkan hilang, ditemukan di puncak Bukit Bulusaraung, wilayah Sulawesi Selatan semasa operasi pencarian yang dijalankan oleh Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas) pagi ini, lapor agensi berita ANTARA.
Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan Basarnas, Edy Prakoso ketika mengesahkan perkara itu di Jakarta berkata, serpihan pesawat ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) darat selepas menerima laporan daripada pasukan di kawasan tersebut yang mencari menggunakan pesawat.
Menurut Edy, Pejabat SAR Makassar melaporkan petunjuk awal serpihan pesawat itu sekitar pukul 7.17 pagi (waktu tempatan) apabila sebuah pesawat rondaan udara mengesan serpihan berwarna putih di sekitar Bukit Bulusaraung.
Pada pukul 8.02 pagi (waktu tempatan), pasukan darat menemukan serpihan pesawat yang besar di sebelah utara puncak bukit itu, manakala sekitar pukul 8.09 pagi (waktu tempatan), fiuslaj ditemukan untuk pengenalpastian lanjut.
Edy menambah, proses pemindahan masih mengambil kira faktor cuaca, terutamanya kelajuan angin kencang dan kabus, manakala helikopter cuba mencari lokasi selamat untuk menurunkan pasukan SAR di lokasi terdekat dengan fiuslaj.
Sementara itu, laman berita Detik melaporkan, antara serpihan pesawat yang ditemukan adalah tingkap yang hancur, cebisan pakaian berwarna kelabu dan ekor pesawat.
Sementara itu, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Kelas A Makassar yang bertindak sebagai Penyelaras Misi SAR (SMC), Muhammad Arif Anwar berkata, bentuk muka bumi di lokasi nahas agak mencabar dan memerlukan peralatan khusus.
“Sesetengah lokasi berada di lereng bukit dan memerlukan peralatan mendaki gunung. Keselamatan kakitangan kekal menjadi keutamaan kami dalam operasi ini,” katanya.
Pesawat yang dikendalikan oleh Indonesia Air Transport itu terputus hubungan semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Adi Sucipto di Jogjakarta ke Makassar malam tadi.
Pesawat yang membawa 10 orang termasuk tiga penumpang itu dikendalikan oleh seorang juruterbang. – AGENSI














