PETALING JAYA – Turut berduka, pemergian pelakon Nadia Kesuma dipercayai akibat serangan jantung ketika transit di Jeddah merupakan kehilangan besar buat Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Presidennya, Zed Zaidi, berkata keperibadian Allahyarham yang prihatin terhadap rakan seperjuangan seumpama seorang kakak membuatkan dirinya disenangi ramai.
“Beliau aktif dalam persatuan. Seorang yang sangat menyenangkan, peramah dan ringan tulang. Setiap kali ada acara dan tidak terikat dengan jadual, memang beliau akan bantu. Sanggup ‘turun’ dari Pulau Pinang.
“Sifatnya macam kakak-kakak, akan jaga bahagian makanan selain memastikan kebajikan artis serta tetamu dijaga dengan baik.
“Apabila sahabat baiknya, Anne Abdullah maklumkan berita duka berkenaan pemergiannya, kami turut bersedih. Allahyarham ‘pergi’ meninggalkan banyak kebaikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pada masa sama, Seniman akan memberikan sokongan terhadap keluarganya yang kini sudah terbang ke Jeddah bagi urusan pengebumian Allahyarham.
“Kami akan memantau perkembangan semasa selain sedia memberikan bantuan. Setakat ini difahamkan suami serta anak-anaknya sudah terbang ke Jeddah kerana arwah dikebumikan di sana,” ujarnya.
Zed turut memaklumkan Nadia Kesuma atau nama lengkapnya Nadia Kesumawati Abdul Karim, 50, terbabit dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Beliau menjadi jurulatih lakonan program TVET anjuran Seniman baru-baru ini. Memang Allahyarham bersungguh-sungguh sepanjang acara,” katanya.
Selepas tidak dapat dikesan sejak 15 Januari lalu ketika tiba di Lapangan Terbang Abdul Aziz di Jeddah, suami Allahyarham, Prof Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkongsi khabar duka pemergian arwah di Facebook.
Allahyarham Nadia dilaporkan mendapat serangan jantung sebelum dikejarkan ke hospital dan menghembuskan nafas terakhir Khamis lalu pada pukul 8.07 pagi waktu tempatan. – KOSMO! ONLINE














