KUALA SELANGOR – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan video program senamrobik kontroversi berbaju kurung tanpa kain yang dipercayai diadakan di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, program tersebut dibuat secara langsung dalam aplikasi TikTok sebelum gambar dan video itu tular di sebuah ‘page’ dalam Facebook.
Katanya, berdasarkan gambar itu didapati terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah tidak memakai kain dan salah seorang individu hanya memakai seluar legging.
“Hasil siasatan awal mendapati program itu telah diadakan dengan bertemakan ‘Back To School’. Salah seorang dari pengikut telah menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jelas beliau, bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan/Seksyen14 Akta Kesalahan Kecil 1955/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD ini ditalian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataannya menyifatkan aktiviti senamrobik berbaju kurung tanpa kain yang tular di media sosial sangat tidak beradab dan boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina selain mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam. – KOSMO! ONLINE














