GEORGE TOWN – Jenazah pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Jeddah, Arab Saudi akan dikebumikan di sana.
Perkara itu disahkan suami Allahyarham Nadia, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah kepada rakan perniagaannya iaitu Jasmin Hajar, 50, sebentar tadi.
“Kak Nadia sudah meninggal dunia. Suaminya beritahu mengenai perkara itu tadi selepas dia dimaklumkan oleh pihak Wisma Putra.
“Katanya, jenazah Kak Nadia akan dikebumikan di sana (Jeddah). Dia memang selalu menginginkan untuk ke sana,” katanya dalam nada sebak hari ini.
Dalam pada itu, Jasmin Hajar memberitahu, suami Nadia Kesuma akan bertolak ke Jeddah bersama anak perempuannya pagi ini.
“Mereka akan bertolak ke Jeddah pada pagi ini dan jenazah kini berada di Hospital King Fahad,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE
Habis//














