fbpx
Gambar hiasan.

UMNO tuntut perlindungan guru, mahu UPSR, PT3 diadakan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – UMNO menyokong penubuhan Akta Perlindungan Guru bagi menjaga kebajikan serta keselamatan pendidik di negara ini, selain menuntut agar peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diadakan semula.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perlindungan itu penting bagi membolehkan guru melaksanakan tugas mendidik dan mendisiplinkan pelajar tanpa rasa takut atau tekanan berlebihan.

“Zaman dulu, kalau cikgu rotan kita, balik rumah mak bapak tanya berapa kali kena. Sekarang, mak bapak pula pergi sekolah marah cikgu atau buat laporan polis. Guru-guru mesti diberi perlindungan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan UMNO mahu kedua-dua peperiksaan tersebut dikembalikan sebagai sebahagian daripada sistem penilaian nasional yang lebih tersusun dan adil.

“Saya minta sokongan perwakilan supaya perkara ini dibawa ke Majlis Peperiksaan Negara dan dilaksanakan. Kita beri mandat ini kepada Yang Berhormat Senator Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa jaminan pengajian dalam bidang perubatan telah diarahkan untuk diuruskan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Bagi pelajar yang berdepan isu ketidakpadanan kursus dan kerjaya, beliau berkata, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) akan memperkenalkan Program Pembangunan Eksekutif dalam Pengurusan bagi membolehkan graduan pelbagai latar belakang memasuki sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat di bawah Mara.

“Insya-Allah, ini peluang kedua untuk mereka bina kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Mengulas kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan, beliau menegaskan sokongan parti itu terhadap kerajaan adalah kekal dan berasaskan semangat perkongsian kuasa.

“Kita tidak pernah menekan Perdana Menteri. UMNO ada 30 kerusi, kita dapat lapan menteri. Perdana Menteri cuba sedaya mungkin memenuhi permintaan kita mengikut keupayaan dan keseimbangan kerajaan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri tunduk kepada UMNO, sebaliknya menyifatkan hubungan itu sebagai saling memahami.

“DNA Perdana Menteri adalah DNA UMNO. Tapi takkan semua permintaan kita boleh dipenuhi. Mustahil,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI